Hari ni aku nak bercerita mengenai 10 Dana yang memberi pulangan terbaik bagi Skim Pelaburan Ahli KWSP atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil Member Investment Scheme EPF bagi tahun 2020 berdasarkan kajian yang dilakukan oleh iFast Research Team

Kalau malas nak baca, boleh tengok huraian 10 Dana ini pada video dibawah

Sebelum kita pergi lebih jauh, apa kita ambil tahu dulu apa itu Skim Pelaburan Ahli KWSP. Skim Pelaburan Ahli KWSP adalah satu platform yang disediakan oleh KWSP untuk memberi pilihan dan fleksibiliti dan mempelbagaikan portfolio persaraan anda dan meningkatkan simpanan persaraan anda
Melalui skim ini, ahli yang mempunyai lebihan simpanan asas di dalam akaun 1 boleh memindahkan sebahagian dari wang dana dalam Akaun 1 untuk dilaburkan melalui Institusi-institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik seperti Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang.

Perlu diingatkan, ini adalah berdasarkan prestasi pada masa lepas. Ia bukanlah jaminan pulangan yang sama akan berlaku. Namun penting untuk kita tahu prestasi lepas kerana ia memberi kita gambaran prestasi sesuatu dana disamping anda MESTI melihat beberapa faktor lain seperti risiko dan toleransi risiko anda

Ibarat kerajaan nak menaja pengajian pelajar ke luar negara. mereka akan memilih pelajar yang mempunyai rekod cemerlang. namun, bukan semua yang mempunyai rekod cemerlang akan lulus dengan sempurna pengajian yang mereka ambil. Tetapi mereka tetap memilih pelajar yang mempunyai rekod yang baik sebagai kayu ukur bagi mengurangkan risiko pelajar yang tersangkut dalam pengajian yang pasti akan merugikan mereka

  1. KAF Vision Fund dengan pulangan 59.29% pada tahun 2020. Ini adalah konvensional yang fokus melabur ke dalam pasaran modal kecil Malaysia.
  2. PMB Shariah Growth Fund dengan pulangan 54.83% pada tahun 2020. Ini adalah dana patuh shariah yang diuruskan oleh PMB Investment. Fokus pelaburan adalah pasaran ekuiti patuh shariah Malaysia
  3. KAF Tactical Fund dengan pulangan 52.47% pada tahun 2020. Ini adalah dana kedua dari KAF Investment Funds Berhad dalam senarai 10 Dana Terbaik. Fokus pelaburan adalah ke berdasarkan tactical allocation dalam sektor pelaburan ekuiti Malaysia
  4. RHB Thematic Growth Fund dengan pulangan 49.44% pada tahun 2020. Ini adalah dana konvensional yang melabur ke dalam pasaran ekuiti Malaysia
  5. Kenanga Growth Opportunities Fund dengan pulangan 43.10% pada tahun 2020. Dana ini sama seperti dana KAF Vision Fund iaitu dana konvensional yang fokus melabur ke dalam pasaran modal kecil Malaysia. Cuma ia diuruskan oleh Kenangan Investors Berhad
  6. RHB Big Cap China Enterprise Fund dengan pulangan 41.93% pada tahun 2020. Ini adalah dana yang melabur ke dalam pasaran ekuiti negara China
  7. Eastspring Investments Dinasti Equity Fund dengan pulangan 38.40% pada tahun 2020. Ini adalah dana patuh shariah yang diuruskan Eastspring Investments yang fokus ke dalam pasaran ekuiti patuh shariah Greater China. Greater China merujuk satu kawasan merangkumi China, Hong Kong dan Taiwan
  8. Affin Hwang AIIMAN Growth Fund dengan pulangan 36.21% pada tahun 2020. Ini adalah dana patuh shariah yang melabur ke dalam pasaran patuh shariah ekuiti Malaysia
  9. Principal Greater China Equity Fund – MYR dengan pulangan 36.08% pada tahun 2020. Ini adalah dana yang fokus melabur ke dalam pasaran ekuiti patuh shariah Greater China
  10. Kenanga EquityEXTRA Fund dengan pulangan 34.78% pada tahun 2020. Ini adalah dana konvensional yang melabur ke dalam pasaran ekuiti malaysia

Kesimpulanya,

  1. 7 daripada 10 dana yang tersenarai adalah dana yang melabur dalam pasaran ekuiti Malaysia, 1 dalam pasaran China dan 2 Greater China. Kalau kita lihat prestasi penanda aras FBM KLCI adalah 5.7% dan FBM Small Cap 12.1%
  2. 3 daripada 10 dana yang tersenarai adalah dana patuh shariah iaitu PMB Shariah Growth Fund, Eastspring Investments Dinasti Equity Fund dan Affin Hwang AIIMAN Growth Fund
  3. Walaupun pulangan dana ekuiti mencecah sehingga 59.29% setahun, tapi korang kena jangka pulangan dalam masa panjang bagi dana ekuiti adalah antara sekitar 7-10% je. Jangan letak harapan tinggi sangat. Jika lebih daripada 10%, ia adalah satu bonus

Oh ya sebagai seorang Perancang Kewangan Berlesen, aku boleh korang melabur ke dalam ketiga-tiga dana patuh shariah tersebut. Lagi 7 bukan tak boleh buat, tapi aku hanya nak makan rezeki halal je

Ingat, gaji kecil takpe. yang penting pandai urus kewangan.

Similar Posts