Ada 3 mitos atau salah informasi berkenaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sering berlaku dalam media sosial. Di sini, saya ingin memberi pencerahan ke atas 3 mitos tersebut
1. ASB/ASBF adalah PELABURAN WAJIB bagi semua orang
Satu prinsip yang kena pegang dalam melabur ni iaitu TIADA apa-apa instrumen pelaburan yang sesuai untuk semua orang. Ya, tiada satu pun
Setiap pelaburan ada risiko dan ciri-ciri unik tersendiri yang menyebabkan ia berbeza dengan instrumen pelaburan yang lain. Ini bersesuaian dengan fitrah manusia tu sendiri yang berbeza keperluan dan toleransi risiko.
Sebagai contoh orang yang mempunyai Nisbah Hutang Kepada Perkhidmatan (debt to serivce ratio) yang tinggi, takkan nak suruh dia buat pembiayaan untuk melabur dalam ASB? Ia akan menyukarkan mereka untuk membuat pembiayaan bagi pembelian rumah pertama
Begitu juga orang yang berpegang ASB belum 100% patuh shariah, tak kan nak cadang melabur dalam ASB? Nanti sebahagian keuntungan nak kena bersihkan pula. Makin sikit jadinya
Oh ya, perkongsian ni bukan nak berbahas ASB ni halal atau haram tau. Jadi, jangan tanya di ruang komen. Ringkasnya, ASB masih belum lagi capai status patuh shariah mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti. Bagaiamanapun, semua majlis fatwa negeri sepakat mengatakan pelaburan ASB ketika ini adalah harus
2. Jangan takut ambil ASB Financing kerana pelaburan ASB hampir tiada risiko
Ye, memang tak dinafikan ASB tak pernah sekalipun gagal dalam memberi agihan pendapatan setiap tahun. Dengan harga seunit ASB tetap dan tak berubah bersamaan singgit, maka ia dianggap hampir tiada risiko
Namun satu yang ramai terlepas iaitu pinjaman/pembiayaan. Ia adalah satu aktiviti yang berisiko. Ini kerana tinggi atau rendah pulangan ASB, ia tetap perlu dibayar. Jadi mesti kena ada pelan keluar ‘exit plan’ bila mana pulangan ASB tak berbaloi dengan kadar yang perlu dibayar bulan-bulan. Bukan ambil sikap tak kisah je
3. Pulangan ASB rendah adalah tanda kegagalan sesebuah kerajaan
Ini ahli politik atau pengikut parti sesebuah politik paling suka nak goreng. Bila mana ASB catatkan pulangan yang rendah, terus dilabelkan kerajaan yang memerintah pada waktu tersebut adalah lemah dan punca jatuhnya pulangan ASB
Tengok-tengok, tukar kerajaan pun tetap sama je
Jika diterjemahkan dalam bentuk graf statistik, kita akan perasan graf pulangan ASB menunjukkan trend penurunan saban tahun
Hal ini terjadi kerana Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai cabaran hebat untuk tadbir urus ASB yang mempunyai saiz dana yang terlalu besar. Pada tahun 1997, saiz dana ASB hanya 30 billion je. Kini sudah mencecah sehingga 320.5 bilion.
Dalam suasana Covid-19 sepanjang tahun ni pun, saiz dana ASB terus bertambah sebanyak 2.7% iaitu 311.9 bilion pada tahun 2019 kepada 320.5 bilion tahun ni
Sedangkan kadar pertumbuhan pendapatan bersih ASB tidak naik selaju dengan kadar pertumbuhan saiz dana ASB. Ibarat macam sebiji kek. Saiznya meningkat sikit tetapi perlu dibahagikan dengan ramai orang yang bilangan terus meningkat. Jadi setiap orang akan dapat sikit je
Namun tak dinafikan, faktor ekonomi semasa memainkan peranan ke atas pulangan ASB.
ASB tak bagus?
Pulangan 4.25%+0.75% tu boleh dikatakan sangat bagus jika nak dibandingkan pulangan penanda aras ASB iaitu simpanan tetap Maybank 12 bulan iaitu sebanyak 1.85% je
Yang tak bagus adalah yang tak melabur langsung tapi duit tetap habis hujung bulan